Selasa, 6 April 2010

Seketika Sahaja Perasaanku Berubah




Keretapi ke Pelabuhan Klang akan tiba dalam lima minit lagi.”

Kedengaran suara operator memaklumkan pengumuman yang aku nanti-nantikan. Aku yang keletihan akhirnya dapat menarik nafas lega memandangkan aku terburu-buru takut tertinggal keretapi yang sering kali tergendala. 

Nasib orang tak ramai, dapat juga aku duduk”, kataku sendirian. 

Hatiku terasa amat tenang lalu terlelap. Aku terjaga apabila tiba di stesen yang seterusnya, kelihatan seorang pakcik dan beberapa anak kecil memasuki gerabak yang aku naiki. Pak cik itu duduk di sebelah aku. Budak-budak itu kelihatan amat comel dan aktif sekali. Pada awalnya, hilang juga rasa penat melihat wajah mereka. 



Pak long nak tahu, ini kali pertama kami naik keretapi, seronok sangat Pak Long, terima kasih Pak Long,” kata salah seorang dari kanak-kanak itu. 

Pakcik itu hanya tersenyum. Seronok betul kanak-kanak itu. Mereka berlari-lari bagai berada di dunia sendiri. Tidak lama kemudian, kegembiraan mereka meresahkan hatiku. Suara mereka yang riuh menghilangkan ketenteramanku. Mereka berlari ke sana ke sini menjelikkan diriku. Dengan keadaan diriku yang baru sahaja ingin tenang, akhirnya telah hilang dek kerana kerenah budak-budak itu. 

Ish budak-budak ni, aku dah la penat. Baru je aku nak rasa aman sikit, diorang ni memekak pula,” omelku sendirian.

Ah, aku dah tak tahan ni, baik aku suruh pakcik ni suruh budak-budak ni diam,” kataku yang sudah tidak dapat menahan lagi melihat kerenah mereka. 

Assalamualaikum pakcik,” kataku pemula bicara.

Waalaikumussalam,” pakcik itu tersenyum manis. 

Pakcik, saya ingin minta pak cik suruh mereka agar diam boleh? Mereka terlalu bising pakcik, rasanya pakcik juga perasan kan?” aku menyatakan permintaanku. 

Hmm, pakcik mengerti perasaan anak ini, tapi pakcik tidak tahu bagaimana ingin memaklumkan kepada mereka, pakcik rasa serba salah bagi menghilangkan kegembiraan yang sedang mereka nikmati ini.” 

Eh pakcik ni, aku nak dia suruh budak-budak tu diam, dia cakap macam tu pula, kata faham perasaan aku, tapi cakap serba salah, pandai pula pak cik ni nak main-main dengan aku, nasib la pak cik ni lagi tua dari aku,” omelku lagi di dalam hati. 

Kemudian, dengan nada yang sungguh sayu, pakcik itu menyambung lagi, “Sebenarnya pakcik baru sahaja pulang daripada menjemput mereka dari rumah mereka, ibu dan bapa mereka telah terlibat dalam kemalangan siang tadi dan telah selamat dikebumikan oleh pihak masjid, mereka masih tidak tahu mengenai kedua orang tua mereka itu, pakcik tidak tahu bagaimana ingin beritahu mereka.”

Tersentak aku mendengar kata-kata pakcik itu, sungguh kasihan pada kanak-kanak itu. Mereka kehilangan kedua orang tua mereka pada usia yang sungguh muda. Perasaanku yang seketika tadi tidak senang dengan kerenah mereka, akhirnya lahir perasaan simpati di dalam hati. Seketika sahaja, perasaanku berubah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan